Byna versi Hairi Pottah :p

Sunday, April 13, 2014

Laporan KESUMA 2014

 LAPORAN KURSUS KEPEMIMPINAN KETUA DAN PENOLONG KETUA RUMAH (KESUMA) KALI KE-6 2014

Pada 1 sehingga 4 Mac 2014 yang lalu, telah diadakan satu Kursus Kepimpinan bagi Ketua Rumah dan Penolong Ketua Rumah Sekolah-sekolah Berasrama Penuh bertempat di SM Sains Sultan Iskandar (ISKANDAR). Seramai 8 peserta dari SM Sains Kepala Batas (SMSKB) diiringi oleh Encik Mohd Shareef B Omar, Penyelaras Sistem Rumah, telah menghadiri kursus ini iaitu:

Ketua Rumah Delphinus: Fathullah Harith B Mazuwan
Pen. Ketua Rumah Delphinus: Nur Syahirah Sabryna Bt Mohmad
Ketua Rumah Orion: Muhd Alif Azizi B Azmi
Pen. Ketua Rumah Orion: Farah Afiqah Bt Mohd Fauzi
Ketua Rumah Phoenix: Ahmad Luthfillah Hadi B Ahmad
Pen. Ketua Rumah Phoenix: Aina Damia Bt Azhar
Ketua Rumah Serphen: Ariff Assyakirin B Rosli
Pen. Ketua Rumah Serphen: Nurul Faiza Bt Hussain

Kursus ini dijalankan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ketua dan penolong ketua rumah tentang methodologi yang sebenar untuk memimpin ahli-ahli rumah mereka untuk membina iklim asrama yang terbilang. Setiap rumah di sana dinamakan mengikut nama perdana menteri iaitu, Rahman (kuning), Razak (hijau), Hussein (biru) dan Mahathir (merah).
Sepanjang kursus, peserta-peserta kursus KESUMA telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti bagi memantapkan lagi ilmu kepimpinan mereka. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan ialah Ice Breaking, Slot Rumahku, Ceramah 5 Prinsip Kepimpinan, LDK Peranan Ketua dan Penolong Ketua Rumah, Slot Komunikasi Berkesan, Team Building, Taklimat & Persediaan Leadership Outreach, Slot Pelan Tindakan, Makan Malam Kasih KESUMA serta Ceramah Memperkasa Pemimpin Global di SBP.
 Peserta-peserta kursus KESUMA juga telah berpeluang untuk menjayakan Leadership Outreach Programme yang melibatkan sekolah-sekolah rendah dan badan-badan organisasi yang berdekatan. Antaranya, Kem Desa Bina Diri, SK Sawah Dato, Rumah Anak Yatim Mersing, SK Bandar Mersing, SJK(C) Pai Chee, SK Seri Mersing, SK Seri Pantai, dan Tadika Cilik. 
Aktiviti yang pertama sekali dijalankan pada 1 Mac 2014 ialah Ice-Breaking pada jam 5.00 petang sehingga 6.30 petang iaitu pada masa setiap peserta kursus KESUMA dikehendaki untuk berkumpul mengikut jantina,bulan lahir, saiz kasut dan sebagainya.Disamping itu, para peserta kursus KESUMA berpeluang berkenalan sesama sendiri apabila dibahagi sebagai kumpulan-kumpulan kecil. 
 Aktiviti Slot Rumahku pada sebelah malam bermula jam 9.20 malam sehingga 11.20 malam iaitu pembahagian kumpulan mengikut rumah masing-masing. 

Aktiviti yang seterusnya ialah ceramah tentang 5 Prinsip Kepimpinan pada 2 Mac 2014 dari jam 8.00 pagi sehingga 10.00 pagi. Para peserta kursus KESUMA didedahkan dengan 5 prinsip utama sebagai seorang pemimpin iaitu: 
Model the way
Inspired a shared vision
Encourage the heart
Challenge the process
Enable others to act

Kemudian, aktiviti seterusnya iaitu LDK Peranan Ketua dan Penolong Ketua Rumah dijalankan pada jam 11.00 pagi dan diteruskan dengan Slot Komunikasi Berkesan sehingga jam 1.00 petang. Pada sebelah petang pula, aktiviti Team Building dijalankan dari jam 2.30 petang sehingga 5.00 petang iaitu para peserta kursus KESUMA diuji dengan pelbagai permainan yang menguji kerjasama berpasukan dan bagaimana menyelesaikan sesuatu masalah dalam masa yang ditetapkan. 
Taklimat & Persediaan Leadership Outreach dijalankan pada sebelah malam bermula jam 9.30 malam sehingga 11.30 malam. Taklimat diberikan kepada peserta kursus KESUMA mengikut rumah masing-masing oleh Ketua Guru Rumah. Setiap rumah dibahagikan kepada 4 kumpulan dan diberikan tugasan dan lokasi yang berbeza. Setiap kumpulan pula diberi tugasan untuk mengendali dan menjalankan program mengikut kreativiti masing-masing yang sesuai untuk lokasi yang mereka akan kunjungi pada esok hari. Perbincangan berlangsung dan peserta kursus KESUMA dinilai secara terperinci oleh para Fasilitator dan Jurulatih Utama (JU).
Keesokan harinya, iaitu pada 3 Mac 2014, setelah selesai bersarapan dan melakukan aktiviti riadah pagi (senamrobik), para peserta kursus KESUMA berkumpul dan berpakaian uniform sekolah masing-masing dan bergerak ke lokasi-lokasi yang telah ditetapkan mengikut kumpulan untuk aktiviti Leadership Outreach bermula jam 7.30 pagi dan mereka pulang semula ke ISKANDAR pada jam 12.45 tengahari. Setelah selesai menjalankan Rumusan Leadersip Outreach dari jam 2.00 petang sehingga 4.00 petang, para peserta kursus KESUMA diberi taklimat sebagai persediaan Majlis Makan Malam Kasih KESUMA. Segala protokol dan persiapan majlis diterangkan dan berakhir pada jam 4.30 petang.
Pada jam 6.30 petang, para peserta kursus KESUMA bertolak ke Politeknik Mersing, Johor bagi sesi Majlis Makan Malam Kasih KESUMA. Majlis makan malam tersebut berlangsung setelah selesai solat maghrib dengan upacara pembukaan oleh wakil pelajar ISKANDAR mempersembahkan nyanyian qasidah dan seni tarian silat. Majlis makan malam diteruskan dengan persembahan band ISKANDAR dan sambil menikmati juadah makan malam yang memukau selera, para peserta kursus KESUMA disajikan dengan Ceramah Memperkasa Pemimpin Global di SBP yang disampaikan oleh Tan Sri Abd Ghafar B Mahmud. Majlis Makan Malam Kasih KESUMA berakhir dengan latihan sorak rumah pada jam 11.15 malam dan para peserta kursus KESUMA dibawa pulang ke ISKANDAR.
Pada hari terakhir iaitu 4 Mac 2014, peserta kursus KESUMA menjalani slot Pelan Tindakan bermula jam 8.00 pagi sehingga 10.00 pagi dan diteruskan dengan Rumusan & Penilaian Pelan Tindakan sehingga jam 11.30 pagi. Majlis penutup dijalankan setelah selesai aktiviti Rumusan & Penilaian Pelan Tindakan sehingga jam 1.00 petang. Para peserta dibenarkan pulang dan mula bertolak mengikut bas sekolah masing-masing.
Diharapkan agar kursus ini telah dapat memberikan ilmu yang bermanfaat kepada ketua-ketua rumah dan juga penolong-penolong ketua rumah SMSKB dan semoga ilmu yang telah dipelajari akan dapat dipraktikkan dalam memimpin rumah masing-masing.

Laporan disediakan oleh,
Nur Syahirah Sabryna Bt Mohmad
(wakil peserta KESUMA SMSKB)


No comments: